Wednesday, April 19, 2006

kembali di sini

Saya lama tidak menulis di sini kerana beberapa sebab:


1. Apabila kita hidup di alam maya, menulis untuk sekelompok manusia yang tidak kita kenal,lama-lama kita akan jadi orang lain. Paling-paling tidak, kita akan CUBA jadi orang lain.

Kita cuba jadi sempurna. Kita mahu nampak hebat, perkasa dan sempurna. Sebab mana-mana manusia pun suka membangga diri, mana-mana pun suka dipuji. Bezanya boleh kawal atau tidak perasaan nak membangga, nak dipuji itu.

Kononnya bila saya lari, tidak menulis di sini, saya boleh kawal yang buruk-buruk ini.


2. Saya rasa saya marah-marah di sini. Marah-marah adalah perbuatan orang yang berserah, orang yang putus asa.

Sebab marah-marah adalah lanjutan daripada perasaan marah. Orang marah yang sedar, akan cuba ubah keadaan yang menyebabkan dia marah. Orang yang rasa dia tidak berdaya, tidak larat hendak buat sesuatu, akan buat suatu yang berbeza. Dia akan marah-marah.

Dia berleter panjang, salahkan semua orang kecuali diri sendiri dan panas-membakar setiap masa.

Lama-lama bila dia sudah letih, dia akan senyap. Sebab manusia bila sudah tiada orang hendak dimarahi, dia akan marah pada diri sendiri. Marah pada diri sendiri tak perlu ditulis di sini.


3. Saya percaya saya sudah punya tempat di dunia sebenar. Saya percaya saya sudah tahu bagaimana hendak menyuarakan setiap apa yang ada dalam otak saya, atau apa yang ada dalam hati saya.

Saya percaya sekarang saya sudah berani. Menghadapi diri sendiri. Kemudian menghadapi dunia ini. Saya tak perlu mimpi siang hari lagi. Tak perlu angan-angan, pura-pura dunia berubah begitu saja tanpa ada usaha.

Saya tidak perlu gusar lagi mencari pengiktirafan orang. Merendahkan kepala, memperkecilkan diri sebab orang tidak bersetuju dengan saya.

Saya sudah mula kenal siapa saya. Jadi saya fikir, saya tidak perlu susah-susah dapat sokongan lagi di sini. Tulis panjang-panjang supaya saya rasa dihargai atau ada yang cuba memahami.



Sekarang, saya membuat keputusan untuk menulis semula di sini.


1. Dunia ini bagi saya adalah siri penilaian. Bahasa baiknya 'muhasabah'. Kan kita disaran muhasabah setiap hari. Saya percaya 'muhasabah setiap hari' maksudnya penilaian secara bersiri, dilakukan setiap masa.

Tidak tunggu terhantuk dulu baru terngadah. Atau ditukul dulu baru nak masuk.

Saya tak percaya pada prinsip 'if something works, just let it be like that.' Sebab bagi saya, bagi setiap yang baik, masih boleh dibaiki.

Dulu, saya percaya bahawa saya tidak perlu lagi berada di sini.

Itu dulu. Sekarang saya menilai kembali pendirian saya dan merasakan ada perlunya saya di sini. Ruang ini masih ada gunanya, masih boleh dimanfaatkan.

Saya tidak perlu ulang kesilapan dulu. Dan saya pun tidaklah patut takut membuat kesilapan baru yang tidak disengajakan. Sebab dalam penerokaan hal-hal baru memang kita cenderung berbuat salah dahulu, kemudian barulah boleh temui jalannya.


2. Saya sudah punya ruang dalam media cetak. Paling kurang setakat ini dalam 2 buku yang sudah diterbitkan. Akan datang mungkin dalam buku-buku lain pula atau jika diberi rezeki tuhan, kolum dalam majalah atau akhbar.

Ruang dalam media cetak tidaklah 'sejahat' yang saya sangka. Dulu saya cenderung mengatakan bahawa media cetak ini 'ringan sangat', 'banyak sangat hiburannya' dan 'suka sangat jaga kepentingan orang'.

Setelah saya berada di situ, saya sedar tiada medium yang sempurna. Setiap satunya ada kelemahan dan terpulang pada sayalah mahu menetapkan corak yang bagaimana.

Kita tidak boleh berangan-angan bahawa dengan menulis di internet, kita telah 'menggalakkan satu budaya menulis yang bersifat percuma' atau 'kita telah mencapai seluruh pelosok dunia'. Hakikatnya dunia internet masih bersifat pilihan, dibaca oleh sebilangan mereka yang punya komputer dan talian internet sahaja. Petani, nelayan dan ramai lagi daripada golongan 'marhaen' tidak dapat 'mencapai' kita.

Cadangan kita yang 'bombastik', yang kita anggap sangat berguna itu malang sekali tidak pernah sampai pada khalayaknya.

Pun begitu penulisan di alam maya ini, khususnya blog adalah sangat 'terbuka'. Dalam erti kata tiada tapisan, tiada pilihan idea atau pemilihan kata. Saya boleh cakap apa saya mahu kata.

Dunia cetak tidak membenarkan 'kebebasan' begini. Editor akan menimbang-nimbang tulisan saya; 'membunuh' idea saya yang 'terlalu liar', menukar perkataan saya yang 'sangat abstrak' dan mungkin saja membuang mana-mana bahagian yang dirasakan 'tidak perlu'.

Apabila saya menulis di sini, saya tiada editor. Satu-satunya autoriti dalam 'menapis' dan menentukan tulisan saya adalah pembaca. Saya masih perlukan yang ini. Saya masih perlu ruang untuk bersuara hanya sebab saya mahu bersuara. Saya masih perlu tempat untuk cakap apa saja tanpa perlu fikir berat, panjang dan terlalu teliti.

Ini tidaklah pula dimaksudkan blog adalah tempat untuk cakap lepas sahaja. Cuma saya boleh 'meneroka' diri sendiri di sini.